Kehidupan peribadi Nur_Amalina_Che_Bakri

Beliau belajar dan mengulangkaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program televisyen yang kelihatan realiti seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel. Ini kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi kepada beliau. Beliau sentiasa melayari Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan terdiri dari pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat mereka.

Kejayaan beliau dalam peperiksaan SPM 2004 juga adalah berasaskan kepada inisiatif beliau yang suka berjumpa guru untuk berbincang mengenai pelajaran serta mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya.

Beliau melanjutkan pengajian peringkat A-Level di United Kingdom pada September 2005 di Cheltenham Ladies College dan medapat 5A dalam program A-Level. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah sarjana muda perubatan di University of Edinburgh, Scotland pada September 2007. Semasa di University of Edinburgh, Amalina memperoleh satu lagi ijazah, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Biomedik dalam Farmakologi pada Julai 2010 semasa dalam pengajian ijazah sarjana muda perubatannya. Beliau akhirnya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada Julai 2013.[perlu rujukan]

Pengajian beliau dibiayai sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia di bawah Program Biasiswa Kijang Emas.

Beliau pernah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Itali anjuran American Field Service pada 5 Disember 2004 sehingga 5 Februari 2005[perlu rujukan] dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari bahasa Itali serta menjadi duta kecil Malaysia di sana. Beliau juga terpilih antara 11 penerima Anugerah Maulidur Rasul 1426 peringkat Kebangsaan dan juga merupakan Duta Akademik Berita Harian.